Advertisement

Wednesday, January 14, 2009

MY-NPL EVENT "1" 2009 - PETALING JAYA







Kesinambungan kecemerlangan dan kemeriahan Kejohanan Liga Paintball Kebangsaan Malaysia (MY-NPL) untuk tahun yang keempat akan diteruskan tahun ini. Kejohanan lima (5) pusingan setahun ini, yang mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, kelak menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dalam sukan paintball tanahair yang akan bertanding dalam empat (4) Divisyen yang dipertandingkan. Untuk tahun 2009, dalam usaha untuk mempertingkatkan mutu permainan, pasukan-pasukan di dalam Divisyen 1 akan bertanding dalam format tujuh (7) orang sepasukan, sementara untuk Divisyen-divisyen lain masih dikekalkan format lima (5) orang sepasukan.

Akademi Paintball Malaysia di Kompleks Sukan Astaka Petaling Jaya akan melabuhkan tirai kejohanan pada 14 dan 15 Februari ini diikuti dengan Bandaraya Johor Bahru, buat pertama kalinya dalam lipatan sejarah MY-NPL dipilih sebagai hos lokasi untuk Pusingan Kedua MY-NPL 2009, pada 28 dan 29 Mac, Pusingan Ketiga pada 20 dan 21 Jun di Bandar Kuantan, Pusingan Keempat di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Bandaraya Melaka Bersejarah pada 1 dan 2 Ogos dan Pusingan Kelima “The Grand Finale” kembali semula ke Akademi Paintball Malaysia di Bandaraya Petaling Jaya pada 7 dan 8 November. Untuk tahun ini hadiah-hadiah bernilai berjumlah RM46,350.00 menanti para pemenang di setiap pusingan sementara RM36,000.00 menanti para Juara Keseluruhan untuk Divisyen 1, 2 dan 3 di akhir tahun kelak.

Untuk tahun ini, Juara Divisyen 1 pada setiap pusingan akan menerima hadiah bernilai RM7,000.00, Naib Johan RM6,000.00, Tempat Ketiga RM5,000.00 selain daripada medal dan hadiah sampingan, sementara Juara Keseluruhan di akhir tahun kelak akan menerima hadiah bernilai RM15,000.00 disamping Piala. Juara Divisyen 2 pada setiap pusingan pula akan menerima hadiah bernilai RM5,000.00, Naib Johan RM4,000.00, Tempat Ketiga RM3,000.00 selain daripada medal dan hadiah sampingan, sementara Juara Keseluruhan di akhir musim akan menerima hadiah bernilai RM12,000.00 disamping Piala. Juara Divisyen 3




Pula akan pada setiap pusingan akan menerima hadiah bernilai RM4,000.00, Naib Johan RM3,000.00 dan Tempat Ketiga RM2,000.00 selain daripada medal dan hadiah sampingan, sementara Juara Keseluruhan di akhir musim akan menerima hadiah bernilai RM9,000.00 disamping Piala. Juara Divisyen 4 pula akan menerima hadiah wangtunai RM1,000.00, Naib Johan RM750.00 dan Tempat Ketiga RM500.00 disamping medal dan hadiah sampingan. Tiada gelaran Juara Keseluruhan dipertandingkan untuk Divisyen 4.

Pendaftaran Pasukan untuk Pusingan Pertama yang akan berlangsung pada 14 dan 15 Februari telahpun bermula. Untuk tahun 2009 ini, yuran pendaftaran pasukan untuk Divisyen 1 adalah RM900.00, Divisyen 2 RM500.00, Divisyen 3 RM400.00 dan Divisyen 4 adalah RM300.00 (yang mana termasuk penyediaan paintball palets sebanyak 1,000 biji). Paintball Palets dijual pada harga RM200.00 sekotak 2,000 biji. Tutup pendaftaran pasukan adalah pada Hari Rabu, 11 Februari 2009. Borang-borang penyertaan boleh didapati dari laman web http://www.my-npl.org/ atau dengan menghubungi sekretariat di talian 03 6277 7779 atau Pengarah Kejohanan MOHD SOFIAN MOHD DAUD 016 332 3337 / email : piandaud@my-npl.org atau boleh datang terus ke Akademi Paintball Malaysia di Kompleks Sukan Astaka, Jalan Utara, Petaling Jaya.

Kemeriahan kejohanan untuk Pusingan Pertama ini akan bermula pada hari Jumaat, 13 Februari 2009 dengan para pemain akan melakukan proses “Walk The Field” dimana para pemain mengambil peluang terakhir untuk mengatur strategi dalam gelanggang sementara Klinik untuk para pemain Divisyen 4 akan diadakan bermula jam 3.00 petang oleh para jurulatih dari Akademi Paintball Malaysia. Mesyuarat Ketua-ketua Pasukan beserta undian perlawanan pula akan berlangsung bermula dari jam 8.00 malam, Semua perlawanan-perlawanan peringkat awal untuk Divisyen 1 (di Gelanggang 1) dan 4 (di gelanggang 2 dan 3) akan berlangsung pada hari Sabtu, 14 Februari 2009 bermula dari jam 8.00 pagi sementara untuk Divisyen 2 dan 3 akan bermula seawal jam 2.00 petang pada hari yang sama di kesemua gelanggang. Semua perlawanan peringkat suku akhir hingga ke akhir untuk semua Divisyen akan berlangsung pada Hari Ahad, 15 Februari 2009. Upacara Penutup dan Penyampaian Hadiah akan berlangsung pada hari yang sama bermula jam 4.00 petang



Untuk Pusingan Pertama ini, adalah dijangkakan Yang Berhormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Tuan Wee Jeck Seng akan menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah.

Kepada para peminat sukan paintball, beramai-ramailah memenuhi Akademi Paintball Malaysia pada 14 dan 15 Februari ini untuk menyaksikan perhimpunan para pasukan dan pemain terbaik tanahair dalam sukan paintball dalam merebut gelaran “JUARA MALAYSIA”


FIELD LAYOUTS RELEASED!



FIELD ONE




FIELD TWO




FIELD THREE

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.